Ahad, 27 Februari 2011

Tha'labah : Kisah Pemuda Bercita Syurga

Pernahkah saudara mendengar tentang kisah Ta'labah? Salah seorang daripada para sahabat Nabi S.A.W. Seorang pemuda yang punya misi dan visi yang sangat agung.
Seorang remaja yang begitu hebat di zaman Rasulullah S.A.W. Namanya Tha'labah bin Abdul Rahman, seorang remaja berusia 17 tahun. Setelah memeluk Islam, beliau selalu mengikut Rasulullah S.A.W mengajar. Jika Rasulullah berhajatkan sesuatu, Rasulullah S.A.W akan khabarkan kepada Ta'labah.
Suatu hari Rasulullah menyuruh Tha'labah mencari sesuatu. Ketika dalam perjalanan mencari barang yang Rasulullah hajati itu, Tha'labah telah melalui sebuah rumah yang pintunya terbuka. Angin yang bertiup membuatkan pintu tandas rumah tersebut juga terbuka, dan ketika itu Tha'labah terlihat akan seorang perempuan yang sedang mandi.
"A'uzubillah! Ya Allah aku takut nanti malaikat Jibril memberitahu kepada Rasulullah S.A.W! Ya Allah, aku takut turunnya ayat quran yang menyenaraikan aku dalam golongan orang yang berbuat dosa! Ya Allah..."
Rintihan Tha'labah
Dia merintih sehingga dia lupa akan barang yang dipesan oleh Rasulullah S.A.W. Dia melarikan diri dan terjumpa satu bukit di pinggir Madinah yang dipuncaknya ada sebuah gua. Tha'labah masuk ke dalam gua tersebut dan asyik menangis. Tha'labah menangis dan menangis, beliau kesal amat dengan dosanya.
Pada masa yang sama, Rasulullah S.A.W menanti kepulangan Tha'labah beberapa hari namun Tha'labah tidak kunjung tiba. Lalu Rasulullah S.A.W mengarahkan Saidina Umar RA untuk mencari Tha'labah dan beliau terjumpa Tha'labah di tempat dia bersembunyi di puncak bukit.
Umar berkata "Tha'labah, Rasulullah mahu berjumpa kamu."
"Kenapa? Sudah turunkah ayat al-Quran tentang dosaku, sudah beritahukah Jibril kepada Rasulullah, aku tidak mahu masuk neraka, aku tidak mahu masuk neraka." Kata Tha'labah dalam ketakutan yang amat sangat.
Oleh sebab Tha'labah sudah tersangat lemah, Saidina Umar RA memimpinnya pulang ke rumah. Apabila Rasulullah SAW menziarah Tha'labah, Tha'labah sedang terlentang lalu Rasulullah SAW meriba kepala Tha'labah.
Tetapi Ta'labah mengetepikan kepalanya. Rasulullah bertanya, "kenapa wahai Tha'labah?"
"Wahai Rasulullah, kepala yang penuh dosa ini tidak layak untuk berada di ribamu," kata Tha'labah.
"Apa yang kamu mahu Tha'labah?"
"Ya Rasulullah, aku mahukan keampunan Allah"
Cita-citanya hanya Syurga
"Apa cita-cita kamu wahai Ta'labah?"
"Cita-cita aku hanya syurga Allah. Tolonglah doakan moga Allah mengampunkan dosa-dosaku."
Lalu Rasulullah s.a.w berkata, "wahai Tha'labah aku menjamin kepadamu apa yang kamu mahu dan cita-citamu. Inilah bukti taubatmu."
Tidak lama selepas itu, Tha'labah menghembuskan nafasnya yang terakhir di riba Rasulullah SAW.
Ketika mayat Tha'labah siap dikafan dan tiba masa untuk dikebumikan, Rasulullah SAW datang agak lewat ketika itu. Para sahabat membuka jalan kepada Rasulullah untuk rapat ke kubur Tha'labah. Tetapi Rasulullah berjalan merapati kubur Tha'labah dalam keadaan berjalan yang perlahan, dan seperti tersekat-sekat.
Sahabat-sahabat bertanya, "wahai Rasulullah, kami telah membuka jalan, mengapa Rasulullah berjalan dengan tidak selesa?"
Rasulullah menjawab, "kamu tidak dapat melihat betapa ramainya malaikat yang hadir menghantar Tha'labah ke kubur."
Itulah kisah hidup seorang remaja hebat bernama Tha'labah. Betapa takutnya beliau dengan azab Allah SWT walaupun beliau tidak sengaja terpandang perempuan yang sedang mandi itu. Begitu malu bertemu Rasulullah, begitu mengharap keampunan Allah SWT, dan akhirnya menhembus nafas yang terakhir di ribaan insan mulia bernama Muhammad bin Abdullah, dan jasadnya diiringi malaikat ke kuburan. Subhanallah!
Lihat diri kita. Apakah kita menyesal dan bertaubat setelah berbuat dosa yang sengaja? Apakah kita sedar, dan menyesal serta bertaubat setelah berbuat dosa yang tidak sengaja?
Tepuk dada, tanya iman. Moga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita.

Ahad, 20 Februari 2011

Riak Perosak Amal

                               

Allah tidak mengukur amalan hambaNya berdasarkan kuantitinya tetapi berdasarkan kualitinya. Allah tidak menerima ibadat daripada seseorang yang beribadat bukan keranaNya, sebaliknya ibadat yang dilakukan adalah untuk mengaburi mata masyarakat yang memandang.
"Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum. Dan jika mereka berkata kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka adalah seakan-akan kayu yang tersandar. Mereka mengira bahawa tiap-tiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka. Mereka itulah musuh (yang sebenarnya) maka berwaspadalah terhadap mereka; semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (dari kebenaran)?" - [Surah al-Munafiqun:4]
Berdasarkan ayat di atas, Allah menerangkan salah satu ciri orang-orang munafik. Mereka merupakan seorang yang hebat pada pandangan manusia tetapi tidak pada pandangan Allah. Mereka beribadat dan beramal soleh bukanlah untuk mendapat keredhaan Allah tetapi demi kepentingan sendiri.
Allah telah merakam perbuatan mereka dengan menurunkan surah al-Munafiqun kepada Rasulullah saw. supaya Baginda dan para sahabat berjaga-jaga dengan mereka dan menjauhi sikap mereka.
Telah menceritakan kepadaku dari Malik dari Yahya bin Said dari Muhammad bin Ibrahim bin Al Harits At Taimi dari Abu Salamah bin Abdurrahman dari Abu Sa'id dia berkata;
Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Akan keluar dari kalian suatu kaum, yang solat kalian tidak ada apa-apanya dibanding solat mereka. Juga puasa kalian dibanding puasa mereka. Amalan kalian dibanding amalan mereka. Mereka membaca Qur'an, namun bacaannya tidak melampaui kerongkongan mereka. Mereka keluar dari agama ini sebagaimana anak panah yang melesat dari busurnya. Kamu melihat ke hujung anak panahnya namun kamu tidak melihatnya. Kamu melihat ke busurnya namun kamu tidak melihatnya. Kamu lihat ke pangkal anak panah dan kamu tidak dapat melihatnya. Kamu saling mendustakan dalam pangkal anak panah." Telah menceritakan kepadaku dari Malik telah sampai kepadanya, bahawa Abdullah bin 'Umar tetap mempelajari surat al-Baqarah selama lapan tahun." - [Riwayat Malik:428]
Rasulullah saw. telah memberi peringatan kepada kita akan ada kaum yang kita tidak dapat tandingi solat mereka, puasa mereka dan amalan mereka. Tetapi segala amalan mereka itu hanyalah sia-sia, langsung tidak diterima oleh Allah.
Inilah ciri-ciri orang yang riak dalam melakukan amal soleh. Mereka menunjuk-nunjuk bahawa merekalah yang paling kuat amalannya, paling ikhlas dan paling tawadduk.
Sedangkan Allah Maha Mengetahui akan niat sebenar mereka yang berpura-pura ingin mendapatkan perhatian dan pujian manusia semata-mata.
Riak bukanlah hanya pada orang yang beramal soleh, tetapi setiap daripada kita boleh memiliki perasaan riak tanpa kita sedari.
Contohnya bagi orang yang berilmu, mereka menunjukkan kepandaian mereka dan mencari ilmu hanya untuk diperlihatkan kepada orang ramai betapa pandainya dia dan betapa tingginya ilmu di dada.
Lantaran jika terdapat orang yang berbeza pandangan dengan mereka, mereka akan cepat-cepat membalas dengan hujah yang sangat ilmiah dengan niat supaya orang akan mengagumi kehebatan mereka.
Walau bagaimanapun, sukar untuk kita ketahui niat mereka. Hanya Allah sahaja yang mengetahui apa yang terkandung dalam hati mereka. Kita perlu berbaik sangka terhadap mereka kerana jika kita berburuk sangka, syaitan akan menyelinap dan menghasut kita dengan hasutan yang jelek lagi jijik.
Seperti sabda Rasulullah saw.;
Telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Maslamah dari Malik dari Abu Az Zinad dari al-A'raj dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Jauhilah oleh kalian buruk sangka, sebab buruk sangka adalah sejelek-jelek perkataan. Jangan saling mencari tahu (aib orang lain) dan jangan saling mengata." - [Riwayat Abu Daud:4271]
Begitulah, kita seeloknya diamkan sahaja dan berilah nasihat yang memadai andaikata terdapat ciri-ciri jelas orang yang riak pada kenalan kita mahupun sesiapa sahaja.
Mencari-cari kesalahan itu ditegah oleh Rasulullah saw. kerana syaitan selalu mengambil kesempatan atas peluang itu. Namun, hendaklah kita jauhi sifat riak ini kerana riak merupakan salah satu daripada pecahan syirik.
Sebagaimana sabda nabi Muhammad saw, maksudnya;
Dari Mahmud bin Lubaid dia berkata: Telah keluar Rasulullah saw. sambil berkata, "Wahai sekalian manusia, jauhilah olehmu perbuatan syirik yang tersembunyi." Para sahabat bertanya, "Ya Rasulullah, apakah syirik yang tersembunyi itu?" Baginda menjawab, "Iaitu seseorang berdiri menjalankan solat lalu dia menghiasinya (memanjangkan) solatnya dengan bersungguh-sungguh kerana manusia melihatnya. Itulah syirik yang tersembunyi." - [Sahih Targhib wa Tarhib 1/17]
Seperti dalam hadis yang disertakan, perbuatan menunjuk-nunjuk solat kita kepada orang lain adalah perbuatan riak. Selain perbuatan amal soleh, perbuatan lain juga terdapat riak di dalamnya jika kita tidak ikhlas melakukannya demi Allah sepertimana hadis ini;
Dari Abu Musa al-Asyari dia berkata: "Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah saw. lalu bertanya, "Seorang berperang kerana marah, seorang berperang kerana keberanian dan seorang lagi berperang kerana riak. Manakah antara mereka yang berada di jalan Allah?" Rasulullah menjawab, "Barangsiapa yang berperang agar kalimatullah menjadi tinggi maka dia berada di jalan Allah." - [Riwayat Bukhari dan Muslim, Tirmizi:1646, Ibn Majah:2783]
Jihad pada Allah juga dikhuatiri riak jika niat kita bukan untuk memperjuang agama Allah, dan tidak ikhlas keranaNya.
Bagi yang niat kerana selain daripada Allah adalah amat rugi sekali amalan dan pekerjaan yang mereka lakukan. Ini kerana mereka hanyalah mendapat pujian dan sanjungan manusia sementara sahaja di dunia ini tetapi di akhirat kelak tidak menjamin kedudukan mereka bahkan mungkin akan dicampakkan ke neraka. Wallahualam.
Elakkanlah perasaan bangga diri dan seumpanya. Ikhlaskanlah diri untuk Allah semata-mata. Bimbang kita termasuk dalam golongan yang dibicarakan oleh hadis tersebut.
"Kesombongan adalah selendangKu dan kebesaran (keagungan) adalah sarungKu. Maka barangsiapa melepaskan dariKu satu dari dua tersebut, nescaya akan aku lemparkan ke neraka Jahanam." - [Riwayat Abu Daud:4090, Ibn Majah:4174]
Bagi para penuntut ilmu pula tuntutlah ilmu dengan niat kerana Allah. Bukan niat kerana untuk menambah koleksi sijil lantas menampalnya di rumah, di pejabat dan tempat lain untuk menunjuk kepada orang lain bahawa dialah yang hebat.
Namun, jika ingin mendapatkan sijil supaya menyenangkan proses mencari pekerjaan yang halal demi hidup di atas jalan Allah, itu adalah diharuskan.
Sabda Rasulullah saw.;
"Barangsiapa belajar satu ilmu yang seharusnya hanya mencari redha Allah semata, tetapi dia tidak belajar melainkan untuk mendapatkan keduniaan, maka dia tidak akan mendapatkan walaupun bau syurga di akhirat nanti." - [Riwayat Abu Daud:3664, Ibn Majah:252, Ahmad II/338]
"Janganlah engkau belajar satu ilmu untuk bermegah-megah di hadapan para ulama, mempermainkan orang bodoh serta untuk menguasai majlis. Maka barangsiapa berbuat demikian maka apilah (nerakalah) berhak baginya." - [Riwayat Ibn Majah:254, Ibn Hibban:90, Hakim I/86]
Wallahualam.
- Artikel iluvislam.com

Jumaat, 4 Februari 2011

Sempurnakan Wudukmu ~

Dari Umar bin al-Khattab r.a katanya : ” Ada seorang lelaki berwudhuk tetapi ada kakinya yang tidak terkena air selebar kuku. Dan hal itu dilihat oleh Nabi s.a.w. Disebabkannya baginda bersabda : ”Ulang kembali wudhukmu dengan sempurna dan sebagus-bagusnya!” Orang itu pun berwudhuk kembali dan sesudah itu dia solat”.

(Riwayat Muslim)

Penerangan :

Wudhuk mempunyai enam rukun dan syarat sah wudhuk bergantung kepada enam rukun tersebut. Jika tertinggal atau sengaja meninggalkan salah satu daripada rukun itu, maka wudhuk dikira tidak sah. Rukun-rukun wudhuk ialah:

1. NIAT, iaitu diniatkan di dalam hati untuk mengambil wudhuk yang ertinya "Sahaja aku mengangkat hadath kecil kerana Allah Ta'ala".

2. MEMBASUH MUKA, mengalirkan air serta meratakannya keseluruh muka yang dibasuh, dari dahi sampai ke dagu (jika ada janggut hendaklah diratakan seluruhnya) dan dari telinga kanan hingga ke telinga kiri- disunatkan sebanyak 3 kali.

3. MEMBASUH KEDUA TANGAN HINGGA KE SIKU, mengalir dan meratakan air dari bahagian siku hingga ke hujung jari. Mulakan dari tangan kanan dahulu diikuti tangan kiri, juga dilakukan sebanyak - 3 kali.

4. MENYAPU AIR DI KEPALA iaitu menyapu kepala dengan air sekurang-kurangnya tiga helai rambut dan yang lebih baik ialah menyapu seluruh kepala. - 3 kali.

5. MEMBASUH KEDUA KAKI, mengalir dan meratakan air kepada dua kaki serta celah-celah jari kaki tumit hingga buku lali, mulakan sebelah kanan dahulu. - 3 kali.

6. TERTIB iaitu mengikut turutan, yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan.





                                
                                 peringantan utuk diri ana jugak. ......(^_^)

Wallahua'lam.

yang menarik di sini :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...